BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 15, 2009

~ibu.....

Baru sebentar emaknya menutup mata dengan rapat meninggalkan segala keindahan alam ini. Seketika tadi juga emaknya berbicara dalam nafas yang semput-semput. Ramli mengesat airmata yang menitis bagaikan manik-manik embun di dedaun ketika pagi. Kesayuan mencengkam perasaannya, lalu disedari dia kini telah kehilangan sesuatu yang sukar dicari ganti.


Wajah pucat jasad emaknya ditenung dalam-dalam. Ada kesayuan pada wajah itu. Dan di wajah Ramli bagaikan terukir sebuah harapan yang suci sudah terlaksaana menjadi nyata.

Kemudian Ramli menutup wajah sekujur tubuh yang sudah sejuk itu dengan kain batik panjang. Perlahan-lahan Ramli membaca surah Fatihah untuk roh emaknya yang sudah jauh pergi menemui Illahi.

"Kehidupan ini hanya sementara. Semua diantara kita yang masih hidup sekarang ini pasti akan menemui maut. Tidak ada sesiapa yang dapat melarikan diri dari maut yang pasti akan datang bila-bila masa", Ramli teringat isi khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh seorang khatib di masjid kampungnya.

Ramli tidak menyesali pada kematian kerana dia sudah tahu perjanjian seseorang itu dengan Allah ketika di Luh Mahfuz.Ketetapan tentang kematian kita pasti akan didatangi oleh maut, fikir Ramli berkali-kali ketika menoleh kembali ke arah sekujur tubuh yang terus kaku. Tubuh itu akan terus kaku buat selama-lama hinggalah dibangkitkan semula oleh Allah di hari akhirat nanti.

Rumah Ramli diselubungi kesayuan. Sudah ramai orang kampung datang untuk menziarahi arwah emaknya. Persiapan yang sepatutnya telah pun dibuat oleh mereka. Apa yang penting, jenazah emak Ramli perlu dikebumikan segera siang esok.


Bila dikenangkan kembali, dua minggu lepas emaknya berubah benar. Barulah Ramli sedar bahawa waktu itu emaknya sedang mengalami kematian selama empat puluh hari sebelum datangnya kematian yang sebenar.

Lebih menjadi kenyataan kemudian bila emaknya terlantar sakit begitu tenat sekali. Bila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan emaknya mengidap penyakit barah otak. #Kehairanan Ramli memuncak bila mengenangkan kematian emaknya secara tiba-tiba. Apa yang pasti kini emaknya telah pun meninggal.

Esok, emaknya akan mengikut jejak-jejak yang pernah dilalui oleh ayahnya. Emaknya akan bertemu alam kubur dimana penuh dengan cerita yang sukar dibayangkan oleh fikiran manusia. Segala pengalaman itu hanya milik peribadi simati. Kisah yang pernah diketahui hanyalah dari kitab-kitab sahaja. Jauh dari itu Ramli dan semua manusia yang masih hidup tidak dapat membayangkannya.


Ramli terkenangkan bagaimana emaknya telah lalai tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Emaknya gagal menunaikan tuntutan terhadap agama. Lalu emaknya lupa pada ibadat-ibadat yang membolehkan dia selamat dari siksaan Allah. Berkali sudah Ramli mengingatkan tentang kelalaian emaknya, namun dia gagal untuk membawa emaknya ke jalan yang diredhai Allah.

"Mak tahulah, bukankah mak hidup lebih dulu dari kau, tak payahlah nak ajar mak lagi," emak Ramli selalu berkata begitu setiap kali diajukan persoalan itu kepadanya.

"Tapi kenapa mak tidak pernah sujud menyembah Allah yang telah menjadikan kita senang lenang seperti sekarang," suara Ramli tegas tetapi berbaur kekesalan.

Emaknya merenung jauh melewati kepekatan malam. Di kaki langit matanya tertumpah pada bulan purnama yang sedang melepaskan senyuman kepada alam.

Nun di dada langit dapat dilihat betapa cantiknya lukisan Allah bersama bintang-bintang seolah-olah dayang dan inang pengasuh kepada bulan purnama itu.


Akhirnya perbincangan mereka hilang begitu saja. Ramli memikirkan dia tidak harus bertindak begitu memandangkan orang yang ditegurnya itu adalah emaknya. Namun dia terus kesal kerana tidak pernah melihat emaknya mendirikan sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah. Ramli tidak mahu emaknya mengalami kerugian bila menemui Allah kelak.

"Saya sedar, tidak seharusnya saya berbuat begini pada mak. Saya ini anak mak, kerana itu berdosa kalau saya berterusan memaksa mak. Tapi saya tak mahu menyesal setelah mak meninggalkan dunia ini, tanpa membawa sedikit bekalan ibadat untuk menghadapi Allah," Ramli bersuara sayu.

Semasa arwah ayah Ramli masih hidup ada juga dia belajar dan menunaikan sembahyang. Tapi setelah dia kematian suami, emak Ramli bagaikan hilang pedoman. Lalu dia tidak akur pada segala perintah Allah. Apa yang dilakukan terus menyara anaknya Ramli, yang masih kecil. Ramli dibesar dan diberi pelajaran. Sehingga Ramli menjadi manusia yang boleh dibanggakan oleh masyarakat.


Dalam kesibukan itu dia terlupa untuk menyembah Allah dimana selama ini memberikan dia bernafas di bumi yang bertuah. Alasan yang pernah diberikan kepada Ramli, dia tidak mempunyai masa untuk menunaikan perintah Allah. Dia juga menghadapi masalah untuk berkerja kuat bagi menempuh kehidupan mereka dua beranak. Ramli menyesali dengan alasan yang diberikan oleh emaknya Dia tidak menyangka emaknya sanggup menggunakan alasan itu sebagai menepis cubaan untuk mengerjakan suruhan Allah Taala.


Jauh di sudut hati, Ramli memohon semoga Allah membuka pintu hati emaknya untuk menerima apa yang dikatakan olehnya. Sebagai seorang anak dia mahu emaknya menjadi manusia yang baik dan menunaikan segala amal ibadat. Ramli kagum sifat amanah emaknya. Sebab itulah sejak kecil hingga kini dia menjadi manusia yang baik.


Untuk sekian kali Ramli tidak mengerti mengapa dia bersikap begitu sehingga sanggup mengguriskan hati emaknya. Dia menyesali sikapnya yang keterlaluan itu. Tetapi, bagaimana kalau dia membiarkan emaknya membawa cara sendiri, terus tunduk kepada ajakan iblis?

Ramli sedar, seseorang emak atau ayah akan mendapat keberkatan dari doa-doa yang disampaikan oleh anak yang soleh. Mereka akan menikmati keberkatan itu sewaktu menenmui Allah kelak.

Doa dari anak-anak yang taat mengerjakan amal ibadat, disamping selalu berdoa demi kesejahteraan kedua ibubapa di dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberkatinya. Rugilah seseorang yang meninggalkan dunia dengan tiada anak-anak; dan lebih merugikan andainya meninggal dunia sedangkan anak-anak tidak patuh pada ajaran Allah.


Namun, pada fikiran Ramli jika seseorang itu tidak pernah melakukan amal ibadat meninggalkan dunia ini akan merasa kerugian walaupun meninggalkan anak yang kuat beribadat.

"Saya sayangkan mak, sebab itulah saya mahukan mak berbuat begitu. Walaupun saya ini anak mak tetapi kalau mak tidak tahu dalam soal agama, saya sedia mebantu," Ramli memujuk emaknya.

Emak Ramli mengesat airmata yang menitis ke pipi dengan lengan baju. Di wajahnya terpalit kesayuan. Di ruang matanya tergambar hari-hari pembalasan yang pernah digambarkan oleh arwah suaminya. Amat dahsyat. Kengerian hari pembalasan itu tidak dapat digambarkan oleh mata manusia.


Emak Ramli memejamkan matanya bila mengenangkan kengerian yang mungkin bakal dilalui oleh seseorang manusia di hari pembalasan kelak. Sesiapapun tidak dapat menolong kita lagi ketika itu. Cuma amal ibadat seseorang saja yang akan menjadi kubu kepada kehebatan siksaan dari Allah. Apakah dia akan rugi jika tidak menerima pujukan Ramli. Adakah tarafnya sebagai seorang emak akan jatuh sekiranya dia menerima segala nasihat enaknya.


Masih kental difikiran ibu tua itu tentang keazaman arwah suaminya. Dia mahu Ramli dihantar belajar agama dengan Lebai Salleh di Pondok Carok Puyuh.* Harapan arwah suaminya apabila Ramli dewasa kelak akan menjadi manusia yang taat dan patuh dengan segala suruhan Allah.

Emak Ramli keciwa bila tamat sahaja sekolah rendah, anak tunggalnya itu berkeras mahu ke sekolah menengah. Atas tuntutan masa depan yang diidamkan, emaknya terpaksa akur dengan kehendak anak lelakinya.

Dengan berbekalkan sedikit wang simpanan arwah suaminya emak Ramli berjaya menguntumkan senyuman di sisi anaknya selepas Majlis Konvokesyen. Kerja kerasnya membanting tulang di kebun getah sebelah pagi, dan sebelah petang mengambil upah di sawah, tidak mengguriskan kekeciwaan.


Di suatu pagi yang dingin, ketika unggas masih kesejukan berembun di sarang; dan sewaktu itu juga beduk bergema di Masjid, lalu azan memecah keheningan subuh yang syahdu. Selepas bangun dari tidur Ramli mendapati sekujur tubuh sedang sujud di sejadah penuh kyusuk sekali.

Ramli terpaku seketika bila mendapati tubuh yang sedang menghambakan diri itu ialah emaknya sendiri. airmatanya jatuh berderai, lalu membasahi pipinya. Perlahan-lahan Ramli menadahkan tangan kehadrat Illahi tanda kesyukuran yang tidak terhingga.

"Mak........, mak tidak mati?" Ramli bersuara tergamam setelah emaknya selesai menunaikan solat Subuh.

"Bila mak mati...? Mak tidak mati!" emak Ramli kehairanan.

"Belum...,mak belum mati...Jadi saya hanyalah bermimpi?" Ramli memejamkan matanya buat sejenak.

Ramli beristiqfar panjang. Airmatanya menjadi murah bila melihat sekujur tubuh emaknya kini disaluti penuh oleh kain telekong putih. Dia merasa terhibur dengan perubahan yang telah berlakui ke atas emaknya. Ramli berpuashati kerana berjaya memecahkan benteng pengaruh Iblis!

"Mak..., saya mahu menyampaikan sesuatu," Ramli bersuara lembut kepada emaknya ketika menghadap hidangan sewaktu sarapan pagi.

"Apakah kau sudah mahu menerima permintaan mak?" emaknya mahukan kepastian. Ramli menganggukkan kepalanya. Kemudian disusuli senyuman kepuasan. #"Ya, lebih dari itu. Saya mahu menghadiahkan dua hadiah untuk mak."

"Apa maksud Ramli....,"emaknya terus diserang tandatanya.

"Saya mahu mak pergi menunaikan fardu haji bersama Paksu Lazim," Ramli memberitahu secara ikhlas.

"Ramli, kau tidak bergurau...?" emaknya seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Ramli.

"Saya tidak bergurau. Saya juga telah membuat keputusan untuk mengambil Nuraini menjadi isteri saya", jawab Ramli. #Direnung wajah emaknya. Emaknya kelihatan melepaskan senyuman kepuasan. Lalu dipeluk anak itu tanda kesyukuran.

"Ramli, sejuk perut mak bila kau berbuat begini. Tidak sia-sia kau dilahirkan.............."

"Sudahlah mak, jangan diturutkan perasan. Saya juga berbangga kerana mak kini terselamat dari belenggu iblis. Apa yang penting, kita ini adalah hamba Allah. Segala suruhanNya dituntut ke arah kebaikan"' Ramli memujuk emaknya yang sedang dilanda badai perasaan. Emak Ramli melepaskan pelukan. Diwajah masing-masing terlukis sebuah kepuasan. Namun airmata kesyukuran masih bergenang.

"Mak tidak sangka rupa-rupanya kau tetap menurut jejak ayahmu yang taat pada agama"' jelas emaknya bersyukur kerana Ramli menjadi manusia yang baik.


Di kelopak matanya jelas membayangkan kesibukan jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima. Lalu di mulutnya terkumit-kumit melafazkan: "Labbaikallah Hummalabait........."

Hati emaknya kemudian girang bila menggambarkan anaknya Ramli akan menyarungkan cincin ke jari manis Nuraini. Emak Ramli melepaskan senyuman bila mengenangkan wajah ayu bakal menantunya tinggi lampai, berkulit putih kuning rambut panjang mencecah bahu.


{Nota - * Pondok Carok Puyuh - merupakan satu institusi pengajian ugama Islam yang diwarisi oleh masyarakat melayu. Banyak terdapat di Kedah, Kelantan dan Perak. Sistem pengajian yang menekankan ilmu-ilmu Al Quran Hadis ini telah banyak melahirkan alim ulamak di Malaysia.}


0 bicara: