BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Sunday, January 3, 2010

~ketandusan idea,,,,,

salam sume...

berikutan ketandusan idea....

so sy nk publish'n cerpen copy n paste nie...

papepun layaan jee......

Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?

Teringat aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.

Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.

Lebih pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras suaranya.

Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.

Aku beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.

“Dah pukul berapa kak?”

“Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.

Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.

Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…

Aku rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen panjang tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin baru dibeli. Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di Indonesia. Masyaallah, Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku yakin si Shahrul ni tak pernah baca buku-buku agama pun. Yang diminatinya tak lain itulah… majalah sukan, komik dan hiburan. Seribu satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.

Memang pernah ayah dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan bola sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!

Sudah lebih lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk membudayakan Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri menentang, bagaimana dengan adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah masing-masing telah berumahtangga, jadi… tak kisahlah. Namun ada keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang berlaku di dalam rumah.

Selepas solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih terasa. Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta, tempat kubekerja sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.

Aku terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula bergerak lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi kayuhan basikal. Makin lama makin jauh.

“Ada… ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.

“Ya mak,” sahut ku lemah.

“Bangun solat Subuh ye nak.”

“Ha’ah,” aku patuh.

“Mak… ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.

“Ke surau dengan adik-adik… berjemaah.”

Alangkah indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah lama kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu pada kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya ada aku seorang… bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama Kekasih. Terasa rumahku yang selama ini suram mula bercahaya… telah ada jiwa…

@@@

Aku menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu adalah cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan terus berzikir sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada seorangpun ahli keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti masing-masing selepas solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu membawa kemiskinan, penyakit, malas dan lain-lain kesan negatif?

Shahrul dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas. Pada mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila kutanya jawab mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini mereka kaki tidur nombor satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh ke atas baru bangun. Lepas bangun menonton televisyen. Tengah hari baru mandi. Sekarang sudah berbeza benar.

Sesekali aku menjenguk mereka melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar berlari anak keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak berdua ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah kena air embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang digalakkan Islam.

Pagi itu kami menghadap sarapan secara berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang membaca doa beserta maksudnya sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku mengingatkan adik-adik supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati sepanjang masa makan. Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya mendapat sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang bisa mengubah segalanya. Syukur.

Ayah ke pasar bersama Shahrul sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk meminjamkan kaset kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk mengorek cerita daripada ibu.

“Mak, Ada rasa seronok balik kali ini.”

“Iyelah, dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.

“Ada rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”

Ibu tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya didongakkan ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik hadiah daripada menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah hasil tangan Abang Zamri sendiri

“Ini semua kerja Allah Ada. Mak sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga kita… supaya kita berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala saranan dan teguran Ada.”

Ibu mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak sangka.”

“Apa dah jadi Mak?” soalku lebih serius.

“Abang Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia mendakwahkan budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat tak tahu… dia berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke, cara dia berpakaian ke, apa ke di rumah kita ni.”

Memang kuakui Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak pernah meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada orang tua. Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak pernah lari daripada berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak terpengaruh dengan keseronokan dunia. Tidak ada perkara lain yang dicintainya selain daripada berjuang untuk Islam.

Abang Zamri jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para artis, pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan sehari-hari dalam keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Entahlah apa yang telah dibuatnya hingga keluarga kami berubah. Ingin kutanya pada ibu tapi… tunggulah nanti, apabila ada masa yang sesuai, insyaallah.

@@@

“Mak, Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga Abang Zamri…”

“Mak ke Terengganu?” soalku.

“Iye, cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan kami.”

“Habis tu… apa yang jadi?”

Ibu terus bercerita dengan anjang lebar sambil kami melipat kain baju. Menurut ibu, keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya seramai sembilan orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman bahagia dan tenang Banyak perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama lima hari berada di sana.

Waktu tiba di kampung halaman Abang Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh hormat. Gembira sungguh mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah ceria dan menampakkan ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan ibu dan ayah sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah dan ibu agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak sendiri pun susah nak cium tangan.

Rumah mereka bersih walaupun tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga. Irama nasyid, bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari padi sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar negara.

Waktu Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi lagi rumah itu telah dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang bertilawah, ada yang berzikir, ada yang solat dan sebagainya. Kemudian, yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh berjemaah ke masjid. Oleh kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun dan pergi ke masjid sekali.

Dari awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya turun ke pantai yang nampak dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi Pak Luqman, bapa kepada Abang Zamri untuk mendengar tazkirah pendek. Kemudian adik-adik Abang Zamri yang kecil berlari-lari anak dalam satu barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan bapanya pula membasahkan tubuh dengan air embun yang diambil daripada pokok-pokok kayu. Tujuannya untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih apabila dipelawa oleh Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah dan ibu berada di sana.

Waktu bersarapan tiba. Semua isi rumah ada, tidaklah seperti rumah kami- sarapan sendiri-sendiri. Mereka menghadap makanan dengan wajah yang manis, dimulakan dengan doa. Alangkah mesranya hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan tenang yang sukar digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk… takut tak kena pula jalannya.

Selepas mengemaskan rumah secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di serambi rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka mendendangkan lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka sendiri. Sura mereka yang berharmoni indah bergema sampailah ke tengah hari. Kata emak Abang Zamri, kumpulan nasyid budah-budak itu sering menerima jemputan di sekitar daerah. Selama lima hari di sana, ibu sudah jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh dikatakan setiap album nasyid terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu bukan main lagi… dengan karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke tengahjalan. Tentu ibu malu kalau terkenangkannya.

Kononnya hubungan Pakcik Luqman dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin. Mereka selalu tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah tua. Kalau duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat. Al maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang, bertegang leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari luar pun tak pernah ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbincang hal agama… jauh sekali.

Pelbagai pengalaman baru yang ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah menemui formula keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga kami. Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.

“Eh, Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku tersenyum mengelamun.

“Eh… mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.

“Mak sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang ama Shahrul tu…”

“Alah mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.

Tuesday, April 28, 2009

~perpisahan terakhir....

Perpisahan Terakhir
oleh ....Siti Rohani


”Ani, Ani, Aku ada berita gempak untuk kau!” Jerit Zati.

”Kau ni bisinglah, kan aku dah kalah. Eeeii, siap kau ’Hulk’, nanti aku belasah kau balik.”

”Cuba kau tengok surat khabar ni. Kau tengok tajuk utama akhbar tu.” Tatkala aku menatap helaian pertama yang terpampang di depan mataku, air mataku tidak dapat di bendung lagi. Keratan gambar yang ditonjolkan sudah jelas menunjukkan rahsia yang tersirat di sebalik tinta penulis.

”Ya Allah, aku tidak sangka kau sememangnya bermaksud begitu Izzah.”

*****

”Assalamualaikum, nama saya Nurul Izzah bin Arifin. Anda semua boleh panggil saya Izzah.” Pengenalan yang cukup rinkas. Tetapi bagi kelas 3 Al-Razi, pengenalan tersebut sudah cukup menyeluruh untuk kami mengenal Izzah.

”Hai Izzah, nama saya Nurhany Nadirah. Awak boleh panggil saya Ani.”

Pada waktu itu, aku adalah orang pertama yang menghulurkan salam persahabatan. Tempat aku yang tiada penghuni telah diisi oleh seorang insan bernama Izzah. Semenjak kehadiran Izzah, hari-hariku bertambah cerah dan berwarna-warni. Izzah menjadi temanku yang setia. Dia bukan sahaja terlalu istimewa untukku, malahan turut mendapat tempat di hati guru-guru dan rakan-rakan.

”Izzah, kau nak pergi main badminton tak dengan aku?” Tanyaku.

”Emmm... rasanya tak bolehlah. Aku ada hal. Lain kali lah Ani.”

Keesokan harinya, matahari muncul lagi menandakan permulaan hidup baru bagiku. Setiap hari, aku akan pergi sekolah dengan penuh keazaman,

”Menuntut ilmu untuk menuntut keredhaan Illahi.” Ibuku selalu berpesan agar aku sentiasa mengamalkan ilmu yang aku pelajari.

Ibarat pokok tiada berbuah. Peribahasa ini sentiasa tersemat dalam diriku sebagai pedoman hidupku. Dalam ketika aku sibuk mengelamun, tiba-tiba terdetik suatu perasaan dalam diriku.

”Apasal Izzah ni tak datang lagi. Tak pernah dia lewat sebegini.”

Tidak lama selepas itu, guru kelasku masuk ke kelas kami dengan air muka yang sukar ditafsirkan.

”Saya harap kamu semua dapat sedekahkan Al-fatihah untuk arwah ibu bapa Izzah yang meninggal dunia semalam.”

Bagaikan guruh berdentum, aku teringat wajah gelisah Izzah petang semalam. Rupa-rupanya Izzah sudah dapat meneka sesuatu yang buruk akan berlaku.

Tidak semena-mena air mataku jatuh menitis mengenangkan nasib Izzah tanpa ibu bapa di sisi.

*****

”Hoi, kau termenung apa? Kau ingat aku eh?” Sapa Izzah.

Aku terkebil-kebil memandang Izzah.

”Eh, kau okey ke Izzah?” Tanyaku pada Izzah. “Okeylah, yang pergitu biarlah, aku tetap kena teruskan hidup ini.” ”Habis tu, kau duduk dengan siapa sekarang?” ”Aku duduk dengan keluarga mak cik aku.”

Izzah tetap Izzah. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya. Wajahnya yang ceria tidak pernah pudar dan tetap memancarkan pelangi-pelangi indah buat kami berdua.

*****

Lima bulan berlalu, Izzah mulai berubah. Dia bukan lagi seorang gadis yang ceria, tetapi bertukar menjadi kepada seorang yang pendiam dan sentiasa mengasingkan diri dari aku dan rakan-rakan.

”Izzah, kau tak sihat ke? Aku tengok muka kau pucat aje.” ”Aku okeylah Ani, kau tak payahlah risau.” ”Aku bukannya apa, tapi akhir-akhir ni aku tengok kau dah tak macam dulu. Aku rindu kat Izzah yang sebelum ni.” ”Setiap orang akan berubah Ani. ‘Same goes to me’.”

“Baiklah, aku terima alasan kau tu. Tapi, kalau kau ada masalah kau boleh jumpa aku bila-bila masa aje.” ”Terima kasih Ani.” ”Izzah, jom pergi joging.” Ajak aku ”Jomlah, kitapun dah lama tak joging.”

Suasana petang yang hening itu bertambah bisu melihat kemurungan dan kegelisahan dalam diri Izzah. Tiba-tiba. ”Uwek, uwek.” Aku terkaku apabila melihat Izzah muntah dihadapanku. Lantas, aku mendapatkan Izzah dan membantunya. Tidak semena-mena Izzah memelukku dan menangis dibahuku.

”Sebenarnya Ani, aku mengandung.” ”Astaghfirullahalazim, anak siapa Izzah.” ”Aku malu Ani. Aku dirogol.... dengan... pak cik aku.” “Bila hal ni terjadi Izzah?” Aku bertanya padanya dengan nada simpati. “Perkara ni terjadi dua bulan yang lalu. Lepas tu, pak cik aku dia bertindak lebih berani. Dia ugut aku Ani.” Izzah mengogol kesedihan.

“Aku rasa nak bunuh diri Ani. Aku tak layak hidup kat dunia ni. Aku dah tak suci.” Izzah menjerit.

”Apa yang kau cakap ni Izzah. Dosa besar Izzah kau buat macam tu. Aku rasa baik kau jumpa dengan kaunselor.”

Pada mulanya Izzah tidak bersetuju dengan rancanganku. Namun, setelah berkali-kali aku memujuknya, akhirnya dia akur dengan cadanganku.

*****

Izzah mengalami konflik dalam dirinya. Dia sudah menjadi benci terhadap lelaki. Kadangkala, Izzah cuba untuk membunuh diri tetapi sempat diselamatkan oleh guru-guru. Aku berasa sedih dan simpati mengenangkan nasib yang melanda dirinya.

“Ani, jom kita tengok wayang nak? Lepas tu, kita jalan-jalan kat tempat yang kita selalu pergi tu.” Tegur Izzah kepadaku.

Aku terpana melihat wajah Izzah yang ceria. Pelik! Izzah sudah kembali seperti dulu.

”Oh, okey! Nanti kejap, aku nak bersiap-siap.”

Pada fikiranku, mungkin Izzah sudah dapat menerima takdir yang menimpa dirinya. Setelah pak cik Izzah ditangkap polis, aku dapat melihat riak wajah Izzah yang gembira dengan kejadian tersebut.

“Ani, lepas ni belajar betul-betul. Demi ibu dan ayah. Kalau kita tak jumpa lagi nanti, Ani pandai-pandailah jaga diri. Izzah sayang Ani.”

“Kenapa Izzah cakap macam tu? Kenapa Izzah dah tak nak jumpa Ani lagi ke?” Aku bertanya dengan nada yang sedikit risau.

Izzah hanya tersenyum sahaja memandangku. Serba sedikit, perasaan tidak senangku beransur hilang apabila melihat senyuman yang terukir di bibirnya.

*****

“Ani, kau okey tak? Dah lah tu, biarkan dia pergi.” Zati menenangkan diriku.

”Tapi, aku tak sangka dia akan mati dalam keadaan begini.” Aku membaca ayat yang terpampang di hadapan surat khabar tersebut, ’Remaja 15 tahun mati, bunuh diri dirumahnya semalam.”

Air mataku mengalir laju. Sesungguhnya, aku sayang akan Izzah. Lapan bulan bersamanya, mengajar aku akan erti kehidupan. Suasana hening pada petang itu dipenuhi dengan kalimat-kalimat Allah yang terbit dari seorang sahabat khas untuk rakannya Izzah.

Monday, March 23, 2009

~cerpen lg.......

Maafkan Aku, Ibu...


Aku sangat malu dengan teman-temanku saat aku memperkenalkan ibuku yang mempunyai muka luka bekas bakar kepada mereka. Mereka semua mentertawakanku.

Setelah beberapa lama, akupun berpindah sekolah dan tidak lagi memperkenalkan dia sebagai ibuku, melainkan pembantuku.

Setiap hari ibuku selalu menghantarkan bekalanku ke sekolah semasa waktu rehat.

Suatu hari, temanku bertanya "Anna, adakah itu ibumu?"

Dengan ragu-ragu aku berkata, "bukan, dia adalah pembantuku."

Aku dapat melihat kesedihan di mata ibuku. Tapi aku tidak mampu melakukan apa-apa kerana aku tidak mampu lagi menanggung malu yang ku lalui sebelum aku berpindah sekolah.

Walaupun aku dapat melihat ibuku sedih, tapi dia tidak pernah berkata apa-apa.

Sehingga ke suatu hari dia jatuh sakit.

"Anna, kesini nak." katanya kepadaku.

"Ada apa ibu?" kataku sambil duduk di tempat tidur ibuku.

"Ibu ingin menceritakan kejadian yang menyebabkan ibu mempunyai wajah seperti ini...Dulu saat kamu masih bayi, kamu sakit teruk sehingga ibu terpaksa pergi ke kedai ubat untuk membelikanmu ubat kerana ayahmu dan ibu tidak mempunyai wang untuk membawamu berjumpa doktor. Sementara ibu pergi, ayahmulah yang menjagamu. Ibu dengan terburu-buru membeli ubatnya dan segera pulang. Tetapi tidak tahu mengapa dapur di rumah kita tiba-tiba terbakar. Ayahmu dan Ibu tidak mengetahui kejadian itu sebelum melihat asap yang tebal menggumpal di dalam rumah dan api sudah sangat besar ketika kami menyedarinya. Aku dan ayahmu berusaha menyelamatkanmu tetapi ayahmu tertimpa kayu jatuh yang terbakar dan menyebabkan dia tidak mampu bergerak. Ibu berusaha menyelamatkan ayahmu, tetapi wajah ibu terkena kayu terbakar yang jatuh hampir menimpamu. Tetapi ayahmu tidak mampu diselamatkan."

Saat itu juga aku dapat merasakan air mata yang jatuh ke pipiku.

"Maafkan aku, ibu..." hanya kata-kata itu yang mampu kuucapkan setelah semua yang telah kulakukan pada ibuku


Sunday, March 15, 2009

~ibu.....

Baru sebentar emaknya menutup mata dengan rapat meninggalkan segala keindahan alam ini. Seketika tadi juga emaknya berbicara dalam nafas yang semput-semput. Ramli mengesat airmata yang menitis bagaikan manik-manik embun di dedaun ketika pagi. Kesayuan mencengkam perasaannya, lalu disedari dia kini telah kehilangan sesuatu yang sukar dicari ganti.


Wajah pucat jasad emaknya ditenung dalam-dalam. Ada kesayuan pada wajah itu. Dan di wajah Ramli bagaikan terukir sebuah harapan yang suci sudah terlaksaana menjadi nyata.

Kemudian Ramli menutup wajah sekujur tubuh yang sudah sejuk itu dengan kain batik panjang. Perlahan-lahan Ramli membaca surah Fatihah untuk roh emaknya yang sudah jauh pergi menemui Illahi.

"Kehidupan ini hanya sementara. Semua diantara kita yang masih hidup sekarang ini pasti akan menemui maut. Tidak ada sesiapa yang dapat melarikan diri dari maut yang pasti akan datang bila-bila masa", Ramli teringat isi khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh seorang khatib di masjid kampungnya.

Ramli tidak menyesali pada kematian kerana dia sudah tahu perjanjian seseorang itu dengan Allah ketika di Luh Mahfuz.Ketetapan tentang kematian kita pasti akan didatangi oleh maut, fikir Ramli berkali-kali ketika menoleh kembali ke arah sekujur tubuh yang terus kaku. Tubuh itu akan terus kaku buat selama-lama hinggalah dibangkitkan semula oleh Allah di hari akhirat nanti.

Rumah Ramli diselubungi kesayuan. Sudah ramai orang kampung datang untuk menziarahi arwah emaknya. Persiapan yang sepatutnya telah pun dibuat oleh mereka. Apa yang penting, jenazah emak Ramli perlu dikebumikan segera siang esok.


Bila dikenangkan kembali, dua minggu lepas emaknya berubah benar. Barulah Ramli sedar bahawa waktu itu emaknya sedang mengalami kematian selama empat puluh hari sebelum datangnya kematian yang sebenar.

Lebih menjadi kenyataan kemudian bila emaknya terlantar sakit begitu tenat sekali. Bila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan emaknya mengidap penyakit barah otak. #Kehairanan Ramli memuncak bila mengenangkan kematian emaknya secara tiba-tiba. Apa yang pasti kini emaknya telah pun meninggal.

Esok, emaknya akan mengikut jejak-jejak yang pernah dilalui oleh ayahnya. Emaknya akan bertemu alam kubur dimana penuh dengan cerita yang sukar dibayangkan oleh fikiran manusia. Segala pengalaman itu hanya milik peribadi simati. Kisah yang pernah diketahui hanyalah dari kitab-kitab sahaja. Jauh dari itu Ramli dan semua manusia yang masih hidup tidak dapat membayangkannya.


Ramli terkenangkan bagaimana emaknya telah lalai tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Emaknya gagal menunaikan tuntutan terhadap agama. Lalu emaknya lupa pada ibadat-ibadat yang membolehkan dia selamat dari siksaan Allah. Berkali sudah Ramli mengingatkan tentang kelalaian emaknya, namun dia gagal untuk membawa emaknya ke jalan yang diredhai Allah.

"Mak tahulah, bukankah mak hidup lebih dulu dari kau, tak payahlah nak ajar mak lagi," emak Ramli selalu berkata begitu setiap kali diajukan persoalan itu kepadanya.

"Tapi kenapa mak tidak pernah sujud menyembah Allah yang telah menjadikan kita senang lenang seperti sekarang," suara Ramli tegas tetapi berbaur kekesalan.

Emaknya merenung jauh melewati kepekatan malam. Di kaki langit matanya tertumpah pada bulan purnama yang sedang melepaskan senyuman kepada alam.

Nun di dada langit dapat dilihat betapa cantiknya lukisan Allah bersama bintang-bintang seolah-olah dayang dan inang pengasuh kepada bulan purnama itu.


Akhirnya perbincangan mereka hilang begitu saja. Ramli memikirkan dia tidak harus bertindak begitu memandangkan orang yang ditegurnya itu adalah emaknya. Namun dia terus kesal kerana tidak pernah melihat emaknya mendirikan sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah. Ramli tidak mahu emaknya mengalami kerugian bila menemui Allah kelak.

"Saya sedar, tidak seharusnya saya berbuat begini pada mak. Saya ini anak mak, kerana itu berdosa kalau saya berterusan memaksa mak. Tapi saya tak mahu menyesal setelah mak meninggalkan dunia ini, tanpa membawa sedikit bekalan ibadat untuk menghadapi Allah," Ramli bersuara sayu.

Semasa arwah ayah Ramli masih hidup ada juga dia belajar dan menunaikan sembahyang. Tapi setelah dia kematian suami, emak Ramli bagaikan hilang pedoman. Lalu dia tidak akur pada segala perintah Allah. Apa yang dilakukan terus menyara anaknya Ramli, yang masih kecil. Ramli dibesar dan diberi pelajaran. Sehingga Ramli menjadi manusia yang boleh dibanggakan oleh masyarakat.


Dalam kesibukan itu dia terlupa untuk menyembah Allah dimana selama ini memberikan dia bernafas di bumi yang bertuah. Alasan yang pernah diberikan kepada Ramli, dia tidak mempunyai masa untuk menunaikan perintah Allah. Dia juga menghadapi masalah untuk berkerja kuat bagi menempuh kehidupan mereka dua beranak. Ramli menyesali dengan alasan yang diberikan oleh emaknya Dia tidak menyangka emaknya sanggup menggunakan alasan itu sebagai menepis cubaan untuk mengerjakan suruhan Allah Taala.


Jauh di sudut hati, Ramli memohon semoga Allah membuka pintu hati emaknya untuk menerima apa yang dikatakan olehnya. Sebagai seorang anak dia mahu emaknya menjadi manusia yang baik dan menunaikan segala amal ibadat. Ramli kagum sifat amanah emaknya. Sebab itulah sejak kecil hingga kini dia menjadi manusia yang baik.


Untuk sekian kali Ramli tidak mengerti mengapa dia bersikap begitu sehingga sanggup mengguriskan hati emaknya. Dia menyesali sikapnya yang keterlaluan itu. Tetapi, bagaimana kalau dia membiarkan emaknya membawa cara sendiri, terus tunduk kepada ajakan iblis?

Ramli sedar, seseorang emak atau ayah akan mendapat keberkatan dari doa-doa yang disampaikan oleh anak yang soleh. Mereka akan menikmati keberkatan itu sewaktu menenmui Allah kelak.

Doa dari anak-anak yang taat mengerjakan amal ibadat, disamping selalu berdoa demi kesejahteraan kedua ibubapa di dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberkatinya. Rugilah seseorang yang meninggalkan dunia dengan tiada anak-anak; dan lebih merugikan andainya meninggal dunia sedangkan anak-anak tidak patuh pada ajaran Allah.


Namun, pada fikiran Ramli jika seseorang itu tidak pernah melakukan amal ibadat meninggalkan dunia ini akan merasa kerugian walaupun meninggalkan anak yang kuat beribadat.

"Saya sayangkan mak, sebab itulah saya mahukan mak berbuat begitu. Walaupun saya ini anak mak tetapi kalau mak tidak tahu dalam soal agama, saya sedia mebantu," Ramli memujuk emaknya.

Emak Ramli mengesat airmata yang menitis ke pipi dengan lengan baju. Di wajahnya terpalit kesayuan. Di ruang matanya tergambar hari-hari pembalasan yang pernah digambarkan oleh arwah suaminya. Amat dahsyat. Kengerian hari pembalasan itu tidak dapat digambarkan oleh mata manusia.


Emak Ramli memejamkan matanya bila mengenangkan kengerian yang mungkin bakal dilalui oleh seseorang manusia di hari pembalasan kelak. Sesiapapun tidak dapat menolong kita lagi ketika itu. Cuma amal ibadat seseorang saja yang akan menjadi kubu kepada kehebatan siksaan dari Allah. Apakah dia akan rugi jika tidak menerima pujukan Ramli. Adakah tarafnya sebagai seorang emak akan jatuh sekiranya dia menerima segala nasihat enaknya.


Masih kental difikiran ibu tua itu tentang keazaman arwah suaminya. Dia mahu Ramli dihantar belajar agama dengan Lebai Salleh di Pondok Carok Puyuh.* Harapan arwah suaminya apabila Ramli dewasa kelak akan menjadi manusia yang taat dan patuh dengan segala suruhan Allah.

Emak Ramli keciwa bila tamat sahaja sekolah rendah, anak tunggalnya itu berkeras mahu ke sekolah menengah. Atas tuntutan masa depan yang diidamkan, emaknya terpaksa akur dengan kehendak anak lelakinya.

Dengan berbekalkan sedikit wang simpanan arwah suaminya emak Ramli berjaya menguntumkan senyuman di sisi anaknya selepas Majlis Konvokesyen. Kerja kerasnya membanting tulang di kebun getah sebelah pagi, dan sebelah petang mengambil upah di sawah, tidak mengguriskan kekeciwaan.


Di suatu pagi yang dingin, ketika unggas masih kesejukan berembun di sarang; dan sewaktu itu juga beduk bergema di Masjid, lalu azan memecah keheningan subuh yang syahdu. Selepas bangun dari tidur Ramli mendapati sekujur tubuh sedang sujud di sejadah penuh kyusuk sekali.

Ramli terpaku seketika bila mendapati tubuh yang sedang menghambakan diri itu ialah emaknya sendiri. airmatanya jatuh berderai, lalu membasahi pipinya. Perlahan-lahan Ramli menadahkan tangan kehadrat Illahi tanda kesyukuran yang tidak terhingga.

"Mak........, mak tidak mati?" Ramli bersuara tergamam setelah emaknya selesai menunaikan solat Subuh.

"Bila mak mati...? Mak tidak mati!" emak Ramli kehairanan.

"Belum...,mak belum mati...Jadi saya hanyalah bermimpi?" Ramli memejamkan matanya buat sejenak.

Ramli beristiqfar panjang. Airmatanya menjadi murah bila melihat sekujur tubuh emaknya kini disaluti penuh oleh kain telekong putih. Dia merasa terhibur dengan perubahan yang telah berlakui ke atas emaknya. Ramli berpuashati kerana berjaya memecahkan benteng pengaruh Iblis!

"Mak..., saya mahu menyampaikan sesuatu," Ramli bersuara lembut kepada emaknya ketika menghadap hidangan sewaktu sarapan pagi.

"Apakah kau sudah mahu menerima permintaan mak?" emaknya mahukan kepastian. Ramli menganggukkan kepalanya. Kemudian disusuli senyuman kepuasan. #"Ya, lebih dari itu. Saya mahu menghadiahkan dua hadiah untuk mak."

"Apa maksud Ramli....,"emaknya terus diserang tandatanya.

"Saya mahu mak pergi menunaikan fardu haji bersama Paksu Lazim," Ramli memberitahu secara ikhlas.

"Ramli, kau tidak bergurau...?" emaknya seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata Ramli.

"Saya tidak bergurau. Saya juga telah membuat keputusan untuk mengambil Nuraini menjadi isteri saya", jawab Ramli. #Direnung wajah emaknya. Emaknya kelihatan melepaskan senyuman kepuasan. Lalu dipeluk anak itu tanda kesyukuran.

"Ramli, sejuk perut mak bila kau berbuat begini. Tidak sia-sia kau dilahirkan.............."

"Sudahlah mak, jangan diturutkan perasan. Saya juga berbangga kerana mak kini terselamat dari belenggu iblis. Apa yang penting, kita ini adalah hamba Allah. Segala suruhanNya dituntut ke arah kebaikan"' Ramli memujuk emaknya yang sedang dilanda badai perasaan. Emak Ramli melepaskan pelukan. Diwajah masing-masing terlukis sebuah kepuasan. Namun airmata kesyukuran masih bergenang.

"Mak tidak sangka rupa-rupanya kau tetap menurut jejak ayahmu yang taat pada agama"' jelas emaknya bersyukur kerana Ramli menjadi manusia yang baik.


Di kelopak matanya jelas membayangkan kesibukan jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima. Lalu di mulutnya terkumit-kumit melafazkan: "Labbaikallah Hummalabait........."

Hati emaknya kemudian girang bila menggambarkan anaknya Ramli akan menyarungkan cincin ke jari manis Nuraini. Emak Ramli melepaskan senyuman bila mengenangkan wajah ayu bakal menantunya tinggi lampai, berkulit putih kuning rambut panjang mencecah bahu.


{Nota - * Pondok Carok Puyuh - merupakan satu institusi pengajian ugama Islam yang diwarisi oleh masyarakat melayu. Banyak terdapat di Kedah, Kelantan dan Perak. Sistem pengajian yang menekankan ilmu-ilmu Al Quran Hadis ini telah banyak melahirkan alim ulamak di Malaysia.}